Berhenti ber-Facebook dan Instagram



Ini bukanlah satu keputusan yang drastik tetapi saya telah memikirkannya selama beberapa bulan. Apa yang menghalang saya sebelum ini hanyalah kerana saya takut lama-lama saya hilang dari hidup dan fikiran rakan-rakan, saya takut dilupakan. Tapi, pentingkah di ingatan?

Banyak saya semadikan gambar dan memori di sana kerana saya tidak mahu lupa namun adakalanya perkongsian saya mendatangkan resah di hati. Risau ada yang tak suka dengan cerita-cerita saya dan yang lebih membimbangkan tersalah tafsir apa yang saya cuba kongsikan.

Tulisan dan suara banyak bezanya. Orang membaca tulisan kita dengan emosi mereka ketika itu, dengan tanggapan mereka terhadap kita; menjadikan ayat yang sama berbunyi lain. Satu perkataan ‘Kenapa?’ boleh dibaca dengan nada gembira, atau marah, atau sedih, atau menyampah dan seribu lagi rasa.

Dan saya manusia yang banyak khilafnya ini sudah tentu tidak mampu menepis bisikan, “Nanti apa org kata?” Segala perkongsian saya selama ini sebenarnya didraf berkali-kali dan diulang baca agar tampak sederhana tanpa unsur bermegah mahupun mengaibkan diri, saya harap.

Saya juga berharap tindakan ini dapat menyekat saya dari memberikan  pendapat, komen dan balas yang biasanya melukakan dari melegakan. Saya acapkali menghiris perasaan orang dengan bicara dan kata-kata, baik dari tulisan mahupun percakapan. Maafkan saya.

Meskipun begitu, saya tidak akan deactivate akaun Fb dan Ig sehingga waktu yang sesuai, entah bila, entah dekat entah lambat. Yang pastinya saya akan memadamkan kedua-dua aplikasi tersebut dari iPhone dan iPad supaya tiada rasa ingin mengklik dan tiada notification diterima. Saya rasa buat masa ini hanya blog caranya untuk saya masih berkongsi cerita dan buat saya lebih tenang tanpa mengetahui siapa yang peduli, siapa yang tidak. Bukan tak biasa saya tangisi, “Saya tidak cukup baik sebab itu orang menghindar.” “Hati saya kurang baik sebab itu saya fikir bukan-bukan.”

Saya mohon maaf atas segala keterlanjuran, yang disengajakan dan tak disengajakan, yang zahir dan yang batin. Moga apa yang saya lakukan ini sudah betul, apa yang saya lakukan ini sudah betul.

Tidak sempurna iman salah seorang antara kalian sehingga dia menyayangi saudaranya sepertimana dia mencintai dirinya sendiri.

Firman Allah SWT: “Maka dengan sebab rahmat daripada Allah SWT, engkau (Muhammad) telah bersikap lemah lembut kepada mereka. Dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka akan menjauhkan diri daripadamu. Oleh itu, maafkanlah mereka dan mohonlah ampunan untuk mereka serta bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan itu. Kemudian apabila engkau membulatkan tekad, maka bertawakallah kepada Allah SWT. Sungguh, Allah SWT mencintai orang yang bertawakal.”

Wallahu taala a’lam.

Comments

Popular posts from this blog

Uniform Sekolah Nayn : SRAI

Majlis Penyampaian Sijil Junior Science Camp 2019

Kidzania, Kami Kembali Lagi!